PETALING JAYA: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai mandat komersial serta amanah kepada pencarum dan tidak wajar dicampur dengan perbelanjaan kerajaan sehingga dikira sebagai sebahagian daripada belanjawan negara.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, apabila syarikat milik GLIC dipaksa mengejar objektif sosial yang tidak mencapai kadar pulangan dalaman (IRR) atau hurdle rate, risiko moral hazard wujud dan akhirnya menimbulkan kerugian yang ditanggung rakyat.
“Pengalaman Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjadi pengajaran penting dalam hal ini.
“Model yang betul ialah memisahkan peranan kerana GLIC dan GLC perlu dibina sebagai jaguh serantau atau syarikat multinasional yang memaksimumkan pulangan, membayar dividen dan cukai, manakala kerajaan berbelanja melalui proses belanjawan dengan mandat yang jelas dan semakan kukuh,” katanya menerusi Podcast Yang Berhenti Menteri semalam.
Ahli Parlimen Padan itu turut merujuk kejayaan Singapura melalui Temasek iaitu dana pelaburan bebas membuat keputusan komersial, manakala kerajaan menyalurkan perbelanjaan sosial secara berasingan.
Katanya, perkara itu memastikan akauntabiliti terjaga, reputasi dana rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan TH terus terpelihara serta mengelak pendekatan kosmetik yang dilihat baik tetapi mendatangkan risiko pada masa hadapan.
Semalam, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 dilaporkan berkata, perbelanjaan oleh GLIC, badan berkanun dan pelaburan awam-swasta dijangka memberi kerajaan tambahan RM50.8 bilion untuk inisiatif awam sekaligus menjadikan peruntukan keseluruhan belanjawan tahun depan sebanyak RM470 bilion. – UTUSAN






