SERDANG: Seramai tujuh daripada sembilan delegasi Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) – Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijangka selesai melalui proses tribunal malam ini waktu Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pihaknya kini menunggu laporan penuh daripada peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) berhubung status dua lagi wakil Malaysia.
“Status dua lagi delegasi masih belum diketahui ekoran peguam belum sempat berjumpa mereka.
“Pihak MyCARE masih menunggu laporan penuh daripada peguam dan proses tribunal dijangka selesai pada tengah malam ini (waktu Malaysia),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pasukan guaman ADALAH yang mewakili aktivis flotila tersebut.
Katanya, destinasi deportasi kesemua delegasi dari Malaysia kemungkinan ke Turkiye, Jordan terlebih dahulu atau terus ke Malaysia.
Semalam sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC – TMTG disahkan telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel, manakala kesemua 145 aktivis di atas kapal berkenaan, termasuk sembilan rakyat Malaysia, dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.
Semua sukarelawan Malaysia yang ditahan di penjara Ketziot di Negev, Israel, dinasihatkan supaya menandatangi Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera.
Kamarul Zaman berkata, semua aktivis misi kemanusiaan FFC bersama TMTG itu akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas borang berkenaan ditandatangani.
Katanya, kesemua sembilan delegasi Malaysia dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius, namun mereka berdepan layanan yang amat kejam semasa serta selepas ditahan tentera Israel.
“Menurut laporan peguam ADALAH, beberapa peserta flotila turut dikasari secara fizikal dan dilayan tanpa perikemanusiaan, termasuk ditendang, ditampar serta dicengkam secara agresif oleh tentera Israel.
“Mereka dilayan seperti binatang walaupun datang membawa misi kemanusiaan. Delegasi kami bukan pengganas, sebaliknya terdiri daripada doktor, wartawan dan sukarelawan antarabangsa yang membawa ubat-ubatan, makanan bayi serta bantuan untuk rakyat Gaza,” katanya.
Katanya, MyCARE akan mengatur pemeriksaan kesihatan terperinci sejurus semua delegasi dibebaskan bagi memastikan keadaan fizikal dan mental mereka berada dalam keadaan baik.
Dalam perkembangan lain, seorang delegasi yang juga Ahli Parlimen dari Sepanyol dilaporkan memulakan mogok lapar, manakala tiga ahli Parlimen Turkiye yang berada di atas kapal Conscience dijangka tiba di Istanbul pada pukul 10 malam waktu tempatan selepas transit di Azerbaijan. – UTUSAN






