PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) memohon maaf secara terbuka ekoran insiden berkaitan kes racun dan tembak anjing liar dalam kawasan kampus di institusi tersebut yang tular di media sosial sebelum ini.
UPM berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan yang dilaporkan berlaku hujung tahun lalu.
“Universiti menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan dan menegaskan komitmen untuk memastikan setiap tindakan pengurusan haiwan liar dilaksanakan secara berhemah, beretika dan mematuhi peraturan semasa.
“Universiti juga menghargai pandangan masyarakat tentang tanggungjawab dan kepentingan menjaga keselamatan warga kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Dr Kartini Farah Rahim mendakwa Pejabat Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) UPM mengupah sebuah syarikat kawalan makhluk perosak swasta untuk menembak dan meracun anjing liar di kawasan kampus.
Susulan daripada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, mengesahkan siasatan terhadap dakwaan berkenaan telah dilancarkan.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan peraturan mengenai pembunuhan haiwan.
Dalam pada itu, UPM menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjalankan siasatan terperinci.
Selain itu, pihak UPM turut memberi jaminan akan menghulurkan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.
“UPM juga telah menangguhkan semua aktiviti pengendalian haiwan liar dalam kampus sehingga satu operasi standard prosedur (SOP) baharu yang lebih menyeluruh dibangunkan.
“SOP ini akan menekankan keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan dan pematuhan kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.
UPM dalam masa yang sama berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan prosedur dan merangka pendekatan terbaik yang mampan. – UTUSAN






