KOTA BHARU: Wanita tertua di Kelantan, Siti Liah Mamat, menghembuskan nafas terakhir pada usia 124 tahun di rumahnya di Kampung Dusun Raja, Panji, di sini, malam semalam.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam akibat sakit tua. Cucu beliau, Azhar Mustapha, 50, berkata arwah pergi dengan tenang di sisi keluarga termasuk anak-anak dan cucu yang berkumpul di rumah berkenaan.
“Arwah nenek tidak selera makan sejak tiga hari lalu, namun sebelum itu beliau tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Semua ahli keluarga sangat menyayanginya kerana sifatnya yang lemah lembut dan penyayang,” katanya ketika dihubungi Nexbyte semalam.
Jenazah Siti Liah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rambutan Rendang tengah hari semalam dengan dihadiri lebih 70 ahli keluarga serta kenalan yang hadir menunaikan solat jenazah.
Pada 9 Jun 2021, Nexbyte melaporkan keterujaan Siti Liah yang ketika itu berusia 120 tahun apabila disenaraikan sebagai penerima vaksin Covid-19.
Pemergian Siti Liah yang disifatkan sebagai antara warga emas paling lama hidup di negeri ini. Beliau meninggalkan 11 anak, 34 cucu dan puluhan cicit. – UTUSAN






