PETALING JAYA: Empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami hujan sangat lebat berterusan berstatus bahaya yang diramalkan berakhir Rabu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan berkata, hanya beberapa daerah di Kedah, Kelantan dan Terengganu diramalkan menerima hujan sangat lebat secara berterusan manakala keadaan sama dijangka berlaku di keseluruhan Perlis.
Katanya, di Kedah antara daerah dijangka menerima hujan sangat lebat berterusan tersebut adalah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang dan Sik.
“Di Kelantan pula membabitkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh manakala di Terengganu hanya melibatkan Besut,” katanya hari ini.
Dalam amaran hujan berterusan dikeluarkan, MET Malaysia juga meramalkan hujan lebat berterusan berstatus buruk di beberapa negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu.
“Kawasan tersebut melibatkan daerah Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Bandan Datuk dan Hilir Perak di Perak.
“Di Kelantan pula membabitkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Terengganu melibatkan Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman,” katanya.
Menurutnya lagi, hujan berterusan berstatus waspada juga dijangka berlaku membabitkan daerah Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak manakala Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan di Pahang.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, MET Malaysia memaklumkan bahawa luruan monsoon yang berlaku akibat letusan udara bertekanan tingg di Siberia dan pertembungan angin ke rantau ini dijangka membawa impak cuaca signifikan.
“Kesan utama luruan monsun adalah peningkatan hujan lebat berterusan, angin kencang dan ombak besar, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Orang awam dan semua pihak berkepentingan dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya. Sila dapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia (www.met.gov.my) dan aplikasi myCuaca,” katanya. – UTUSAN





