SHAH ALAM: Sebanyak 77,022 kilogram bahan kitar semula merangkumi lebih 300 taman perumahan di sekitar Selangor berjaya dikumpul sehingga 31 Oktober lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut direkodkan menerusi Program SELKitar Peringkat Negeri Selangor membabitkan 412,812 rumah dan premis di negeri itu.
Katanya, kadar kitar semula negeri menunjukkan perkembangan positif apabila meningkat daripada 12 peratus kepada 16 peratus dan usaha berterusan akan dilakukan bagi melonjakkan pencapaian itu pada tahun hadapan.
“Bermula bulan Oktober, kita mensasarkan 200,000 isi rumah melibatkan tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Kajang, Ampang, Selayang dan Hulu Selangor.
“Jadi, secara keseluruhan 21 buah lori telah diperuntukkan bagi melancarkan operasi pengumpulan bahan kitar semula ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran serta Penyerahan Lori Operasi SELKitar Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Beliau berkata, selain kerjasama PBT, program tersebut turut disokong rakan strategik seperti Nestlé Malaysia, WestCare Klang dan KDEB Waste Management yang membantu melaksanakan pengumpulan serta pengurusan bahan kitar semula.
“Dengan kerjasama ini, kita dapat perluaskan capaian sehingga ratusan ribu isi rumah. Contohnya di Shah Alam dan Petaling Jaya, Nestlé telah memulakan program bersama lebih 54,000 rumah di setiap kawasan,” katanya.
Katanya, RM3 juta telah digunakan daripada jumlah peruntukan RM6 juta bagi pelaksanaan program tersebut setakat ini.
“Kita peruntukkan RM6 juta, namun baru RM3 juta kita gunakan. Dan tahun depan kita akan pertingkatkan lagi jumlah.
“Kenapa kita hanya guna RM3 juta? Sebab kita hendak tengok kesediaan dan kesampaian program ini termasuk sokongan rakan strategik,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut merancang memperluas program itu ke semua daerah termasuk pengumpulan e-waste pada tahun hadapan.
Program SELKitar diperkenalkan pada 22 April lalu melalui projek rintis bersama Nestlé Malaysia di kawasan perumahan terpilih bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).
Inisiatif tersebut menandakan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekonomi kitaran dan meningkatkan kesedaran awam terhadap amalan kitar semula. – UTUSAN






