KAJANG: Anak bekas pengasas Al-Arqam tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung hukuman yang dijatuhi ke atasnya kerana menjadi ahli kumpulan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Sebaliknya, Mohammad Adib Ashaari, menyifatkan pengalaman itu sebagai satu ujian daripada Allah SWT untuk mendidik dirinya serta rakan-rakan supaya lebih tabah dan kuat menjalani kehidupan.
“Kami tak salahkan sesiapa, sememangnya kamilah yang kena bertawakal kepada tuhan.
“Allah SWT hendak mendidik kami untuk terus kuat dan selama ini kami banyak belajar malah akan terus belajar,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Penjara Kajang, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, sempat mengucapkan salam kepada orang ramai yang menunggu sejurus beliau turun dari bas Jabatan Penjara Malaysia.
Beliau kemudian mengangkat tangan sebagai tanda terima kasih dan enggan mengulas lanjut ketika disapa oleh wakil media.
Nasiruddin, 66, dan Mohammad Adib, 33, merupakan antara 22 anggota pertubuhan GISBH yang dikenakan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah atas tuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Selain Nasiruddin dan Mohammad Adib, turut dikenakan hukuman sama ialah Hasnan Abd. Hamid, 54; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd. Fazil Md. Jasin, 58; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Bagaimanapun, kesemua individu yang berada dalam reman sejak tahun lalu, akan dibebaskan hari ini kerana tempoh pemenjaraan berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada sekitar September 2024.
Dalam prosiding yang berlangsung di Kompleks Penjara Kajang, Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar turut mengenakan denda RM4,500 atau tujuh bulan penjara terhadap sembilan tertuduh wanita yang juga ahli GISBH atas pertuduhan sama.
Mereka ialah isteri Nasiruddin, Datin Azura Md. Yusof, 58; Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
“Mahkamah mengambil maklum pengakuan bersalah serta keinsafan (kesemua) tertuduh. Berdasarkan kiraan pentadbiran, tempoh tahanan yang dijalani sudah mencukupi dan mereka akan dibebaskan hari ini selepas urusan pentadbiran selesai,” katanya.
“Mahkamah juga mengambil kira kesemua tertuduh wanita telah berada dalam tahanan reman selama enam bulan sebelum dibenarkan diikat jamin pada April lalu serta menunjukkan keinsafan dan rasa kesal atas perbuatan mereka.
“Oleh itu, kesemua 22 tertuduh-tertuduh bebas dan boleh pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini selepas pihak pentadbiran penjara melengkapkan proses pelepasan dan pengembalian wang jaminan,”kata hakim itu.
Terdahulu, kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menjadi ahli kepada pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Kesemua tertuduh lelaki telah berada dalam tahan sejak September 2024. -UTUSAN






