PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (BDP) menegur penggunaan bahasa asing dan bahasa rojak secara berlebihan oleh agensi kerajaan dalam program dianjurkan sehingga dilihat memperlekehkan usaha pemerkasaan bahasa Kebangsaan.
Menurutnya, bahasa Kebangsaan mestilah digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk surat-menyurat, dokumen, komunikasi, penamaan program dan majlis rasmi dalam urusan Perkhidmatan Awam.
Katanya, berdasarkan pemerhatian pihaknya, masih wujud kecenderungan dalam kalangan agensi kerajaan untuk menggunakan bahasa asing atau bahasa rojak secara berlebihan dalam konteks rasmi.
“Ia tidak selari dengan penegasan kerajaan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) antaranya yang bertarikh 29 Oktober. Surat itu menjelaskan semua urusan rasmi kerajaan termasuk program, aktiviti dan projek dianjurkan atau diurus hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
“Tindakan sedemikian tidak selari dengan aspirasi kerajaan dan citra kebangsaan, malah memperlekeh usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan yang giat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.
Menurut DBP, penegasan kerajaan itu selari dengan teguran berterusan Perdana Menteri yang mahu semua agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Pekeliling Perkhidmatan sedia ada.
“Kegagalan mematuhi arahan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan, termasuklah surat-menyurat merupakan satu tindakan yang mencabul Perlembagaan dan boleh disifatkan sebagai usaha menjatuhkan martabat bahasa Melayu.
“Bahasa Melayu bukan sekadar wahana pentadbiran tetapi merupakan simbol kedaulatan dan identiti kebangsaan yang wajib dipertahankan dan perlu dimartabatkan pada semua peringkat Perkhidmatan Awam,” katanya.
Menurutnya, DBP sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa sentiasa bersedia membantu meningkatkan taraf bahasa Melayu pelbagai pihak yang memerlukan.
“DBP juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kementerian atau kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar bahasa kebangsaan,” katanya. – UTUSAN






