KUANTAN: Masalah hakisan di Pantai Cherating Lama di sini semakin membimbangkan apabila jaraknya kini hanya kira-kira 500 meter dari kawasan chalet, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pengusaha pelancongan.
Masalah hakisan yang mula dikesan sejak September tahun lalu semakin serius terutama apabila musim tengkujuh melanda, menyebabkan ombak kuat terus menghakis garis pantai.
Pengusaha chalet Kampung Inn, Pantai Cherating Lama, Tunku Datuk Sara Eliza Tunku Ismail berkata, jika tidak ditangani segera keadaan itu boleh menjejaskan keselamatan penduduk selain mengancam sektor pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama kawasan berkenaan.
“Sekarang hanya tinggal kira-kira 500 meter dari chalet kami. Dalam musim tengkujuh yang kini melanda negara, tidak mustahil ombak sampai ke kawasan penginapan,” katanya kepada Nexbyte di sini, semalam.
Sara Eliza berkata kerajaan negeri dan agensi berkaitan perlu segera melaksanakan langkah mitigasi termasuk membina benteng atau struktur perlindungan pantai. Katanya, kelewatan tindakan hanya menyebabkan kos pemulihan meningkat selain menjejaskan imej Cherating sebagai destinasi pelancongan terkenal.
“Selain chalet, beberapa kediaman penduduk kampung di Cherating Lama berada dalam lingkungan jarak berisiko, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga.
“Kami berharap isu ini tidak dipandang ringan kerana hakisan pantai bukan sahaja menjejaskan ekonomi, malah mengancam keselamatan pelancong yang menyewa chalet di sini,” katanya.
Sara Eliza merayu kerajaan negeri memberi perhatian segera dengan melibatkan agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Kuantan untuk mencari penyelesaian jangka panjang.
Usaha pencegahan komprehensif dan bersepadu penting untuk memastikan Pantai Cherating kekal selamat dan menjadi destinasi pelancongan lestari bagi pelawat tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN






