KUALA LUMPUR: Kampung-kampung tradisi di Kuala Lumpur kini berdepan pelbagai cabaran termasuk isu pemilikan tanah, kepadatan penduduk, kekurangan kemudahan asas dan tekanan pembangunan yang semakin meningkat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia meliputi kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai Perkampungan Tradisi 1 (TV1) dan Perkampungan Tradisi 2 (TV2) dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040)
Katanya, ia merangkumi Rizab Melayu Gombak yang meliputi Kampung Padang Balang, Kampung Sungai Mulia, Kampung Sungai Merali, Kampung Banda Dalam serta sebahagian Kampung Chubadak Hulu dan Kampung Puah Asal.
“Bagi zon guna tanah TV1, strategi perancangan memberi penekanan kepada kawalan reka bentuk dan fizikal bangunan dengan mengekalkan ciri perkampungan tradisi melalui had ketinggian tiga tingkat.
“Sementara itu, zon TV2 ditentukan dengan kawalan Nisbah Plot 1:2.0 dan berfungsi sebagai zon penampan antara kawasan TV1 dan pembangunan sekeliling. Reka bentuk serta fizikal bangunan perlu disesuaikan agar serasi dengan karakter kampung tradisi di sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) mengenai cabaran utama yang dihadapi kampung tradisi di Kuala Lumpur di bawah kategori TV1 dan TV2 serta pendekatan strategik kerajaan untuk memastikan identiti dan kesinambungannya kekal terpelihara.
Menurut Zaliha, kerajaan komited memastikan kampung tradisi tidak terpinggir dalam arus pembangunan pesat bandar raya dan akan mengekalkan identitinya melalui kawal selia pembangunan yang lebih tersusun.
Katanya, beberapa isu berbangkit di Kampung Padang Balang yang terletak dalam kawasan Tanah Rizab Melayu terus diberi perhatian kerajaan termasuk penyelenggaraan infrastruktur asas dan pengurusan sisa pepejal.
“Daripada sudut infrastruktur, sistem asas seperti elektrik, air dan lampu jalan dibina secara berperingkat tanpa pelan induk sejak dahulu. Keadaan ini menghadkan kemampuan untuk melaksanakan naik taraf secara menyeluruh.
“Selain itu, kebanjiran pendatang asing yang menyewa rumah-rumah lama di kampung ini turut menimbulkan isu sosial dan kebersihan,” katanya. – UTUSAN






