KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 secara progresif dengan pemantauan lebih ketat.
Ia termasuk melalui penggunaan dashboard khusus serta penyelarasan di bawah Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lima substrategi NACS telah diselesaikan tahun lalu manakala 18 lagi substrategi berjaya dilaksanakan sehingga November tahun ini.
Katanya, pendekatan baharu melalui sistem pengurusan antirasuah dan anti-bribery management system membolehkan penilaian dibuat secara lebih telus serta berkala, seiring komitmen kerajaan menangani rasuah tanpa pilih kasih.
“Pemantauan yang lebih berkala ini turut disertai langkah-langkah baharu, termasuk beberapa rang undang-undang yang akan dibentangkan.
“Badan-badan yang menyertai program antirasuah secara berkesan dan agresif akan dipertimbangkan diberikan pemotongan cukai, lebih selamat daripada kehilangan dan
ketirisan.
“Whistleblower kalau ikut dalam rencana rang undang-undang (RUU) yang akan dibentangkan akan diberi bukan sahaja perlindungan tetapi insentif supaya mereka dapat jaminan
pendapatan yang lebih baik selain elaun bagi saksi yang sedia memberi kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status terkini pelaksanaan NACS dalam memerangi rasuah secara tegas tanpa pilih kasih.
Tambah Anwar, beberapa pembaharuan undang-undang juga sedang dirangka, termasuk pindaan Akta Pemberi Maklumat, RUU Kebebasan Maklumat (FOI) dan RUU Ombudsman. – UTUSAN



