KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk menjadi pencelah dalam permohonan difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aset luar negaranya bernilai RM1.1 bilion.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas mendapati Na’imah mempunyai kepentingan untuk dinamakan sebagai defendan memandangkan permohonan yang difailkan SPRM melibatkan harta dan milikannya.
Sebelum ini, SPRM memfailkan permohonan tersebut secara ex-parte (sebelah pihak) bagi menghalang Na’imah atau mana-mana pihak berkaitan daripada menguruskan aset luar pesisir yang didakwa diperoleh di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Aset berkenaan melibatkan empat syarikat di Jersey dengan nilai dianggarkan AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan 85 juta pound sterling (kira-kira RM468 juta).
Permohonan difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Muhammad Jamil berkata, permohonan SPRM di bawah Seksyen 53 AMLATFPUAA itu tidak boleh difailkan secara sebelah pihak tanpa menamakan pihak-pihak yang terkesan.
Katanya, permohonan tersebut juga tidak boleh dilakukan secara sebelah pihak kerana ia memberi kesan langsung kepada hak milik seseorang.
“Selaras dengan prinsip keadilan asasi, pemohon wajar diberikan peluang untuk didengari sebelum mahkamah membuat apa-apa keputusan terhadapnya. Ini kerana permohonan yang difailkan menyentuh harta dan milikan pemohon. Oleh itu, pemohon sepatutnya dinamakan sebagai responden.
“Pemohon telah menunjukkan kepentingan yang jelas dalam permohonan ini. Berdasarkan pertimbangan undang-undang, pemohon mempunyai hak untuk mencelah dan didengar. Oleh itu, permohonannya sebagai pencelah adalah dibenarkan,” katanya.
Na’imah, yang juga balu kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, tidak hadir pada prosiding hari ini dan diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar serta Abraham Au Tian Hui.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat. Mahkamah menetapkan 12 Januari 2026 bagi sebutan kes.
Permohonan tersebut merupakan yang ketiga difailkan SPRM terhadap keluarga Daim selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom (UK) dan Singapura.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan lapan kertas siasatan telah dibuka hasil maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi yang dipercayai tidak diisytiharkan semasa siasatan pada 2023. – UTUSAN




