KUALA LUMPUR: Jangkitan HIV melalui risiko hubungan homoseksual dan biseksual menunjukkan peningkatan dua peratus pada 2024 dengan 2,037 kes dilaporkan berbanding 1,995 kes pada 2023.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan itu menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh strategi pencegahan dan kesedaran dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
“Secara keseluruhannya, jumlah jangkitan HIV baharu di Malaysia mencatatkan penurunan ketara sebanyak 54 peratus dalam tempoh lebih dua dekad, antara 2002 hingga 2024,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN–Jasin) yang meminta kerajaan menyatakan statistik terkini serta perbandingan jumlah pesakit HIV dalam kalangan golongan LGBTQ dan penyalahgunaan dadah mengikut kategori.
Megulas lanjut, Dzulkefly berkata, Malaysia merekodkan 3,185 kes jangkitan HIV baharu pada 2024, menurun sedikit berbanding 3,222 kes pada 2023 sekali gus mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif pencegahan dan rawatan.
Namun katanya, peningkatan kes melalui hubungan homoseksual dan biseksual perlu diberi perhatian serius kerana ia kini merupakan penyumbang kepada kes baharu.
“Sebaliknya, jangkitan HIV melalui perkongsian jarum dan alat suntikan tercemar semasa penyalahgunaan dadah terus menunjukkan trend penurunan ketara daripada 66 peratus (4,038 kes) pada 2005 kepada hanya 2.4 peratus (77 kes) pada 2024,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil pelaksanaan Program Pengurangan Mudarat (Harm Reduction) yang diperkenalkan sejak 2005 merangkumi inisiatif seperti pertukaran jarum suntikan dan rawatan methadone bagi penagih dadah.
“Kementerian Kesihatan (KKM) komited memperkukuh pendekatan pencegahan berasaskan komuniti termasuk memperluas akses kepada rawatan antiretroviral (ARV) serta meningkatkan pendidikan kesihatan awam bagi membendung penularan HIV di negara ini,” katanya. – UTUSAN






