KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah memfailkan notis rayuan terhadap sebahagian dapatan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang dibuat berkaitan dengan pemberian khas sebanyak 40 peratus kepada negeri Sabah.
Notis rayuan tersebut difailkan semalam oleh Peguam Negara bagi pihak kerajaan selaku perayu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Sekitar Jun 2022, SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan warta Kerajaan Persekutuan berkenaan pemberian tahunan sebanyak RM125.6 juta kepada Sabah atas dakwaan telah melanggar hak hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menerima semula 40 peratus.
Kerajaan Persekutuan juga didakwa telah gagal untuk memperbetulkan hak 40% milik Sabah bagi bayaran tahunan bagi tempoh dari 1974 hingga 2021 (dirujuk sebagai Tahun-Tahun yang Hilang) melalui keputusannya, tindakannya dan keingkarannya serta gagal mematuhi Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan (perintah semakan kedua).
Selain Kerajaan Persekutuan, turut dinamakan sebagai responden ialah Kerajaan Negeri Sabah.
Menurut salinan notis yang diperoleh media, kerajaan antara lain merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berbincang mengenai semakan pemberian bagi tempoh bermula 1974 sehingga 2021.
Kerajaan turut merayu terhadap dapatan mahkamah yang menyatakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa mereka dan melanggar kewajiban perlembagaan masing-masing.
Perayu turut merayu terhadap dapatan mahkamah yang menyatakan tiada bukti berhubung kewujudan perbincangan semakan yang sedang berjalan antara Perayu (Kerajaan Persekutuan) dan Responden Kedua (Kerajaan Negeri Sabah) dan penerbitan warta-warta bertarikh 20 April 2022, 24 November 2023 dan 27 Ogos 2025 sebagai tidak sah, tidak rasional, tidak teratur dari segi prosedur dan tidak seimbang.
Turut dirayu ialah terhadap tafsiran dan pemakaian Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.
Peruntukkan itu antara lain menyatakan apa-apa pemberian gantian atau tambahan hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri yang berkenaan itu mengikut lat tempoh tertentu dan perlu mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan bagi negeri yang berkenaan.
Selain itu, kerajaan merayu terhadap perintah mahkamah yang mengarahkan perayu membayar hak yang layak diterima sebagai ganti rugi perlembagaan (constitutional damages) atas pelanggaran Perkara 5 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Persekutuan juga merayu terhadap perintah mahkamah yang mengarahkan perayu dan Responden Kedua mengemukakan penyata kiraan bagi hak yang layak diterima selaras dengan semakan tersebut.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu berbincang dan membuat semakan berhubung pemberian khas sebanyak 40 peratus kepada negeri itu bagi tempoh bermula 1974 sehingga 2021 dalam masa 180 hari bermula tarikh keputusan itu.
Menurut penghakiman ringkas Hakim Celestina, persoalan utama yang perlu dijawab oleh mahkamah ialah kesan terhadap perintah semakan kedua sekiranya ia benar didapati idak mematuhi Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Responden Pertama berhujah bahawa semakan sedang berjalan dari 1974 hingga 2021 tetapi tiada bukti menyokong dakwaan itu. Adalah sesuatu yang agak mengganggu fikiran selama 48 tahun, selepas permohonan ini dibawa (ke mahkamah) buat kali pertama, bukti yang dibawa oleh responen pertama afidavit atau penyataan.
“Sekiranya benar (terdapat semakan), elemen-elemen berikut mesti dibuktikan di mahkamah iaitu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk semakan, tempoh terlibat, persetujuan yang diperlukan untuk pemberian bagi tempoh itu, pengubahsuaian 40% hak dan jumlah yang diperlukan bagi membuat hak 40% di bawah Perintah Yang DiPertuan Agong.
“Setelah mempertimbangkan perkara di atas dan alasan-alasan lain, mahkamah ini berpendapat bahawa pemohon (SLS) telah membuktikan bahawa perintah semakan kedua oleh kedua-dua kerajaan untuk mempertimbangkan dan membuat pemberian khas kepada Negeri Sabah adalah tidak sah dan ultra vires (melangkaui bidang kuasa),” kata hakim tersebut.
Hakim Celestina juga menyatakan kegagalan Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran hak sebanyak 40 peratus menyebabkan Sabah dan rakyatnya menderita akibat kerosakan awam. – UTUSAN






