KANGAR: Kes penyeludupan petrol di sempadan menurun 70 peratus selepas pelaksanaan program Budi Madani Ron95 (BUDI95) yang dilancarkan, 30 September lalu.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Rohaida Hassan berkata, pada tahun lalu, sebanyak 99 kes penyeludupan petrol direkodkan dan menurun sehingga 30 kes dalam tempoh sehingga Oktober tahun ini.
Menurut beliau, kes berkenaan adalah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, secara keseluruhan, KPDN negeri juga tidak menerima sebarang aduan berhubung sebarang permasalahan melibatkan BUDI95 di stesen-stesen minyak sekitar Perlis.
“Cuma sewaktu awal pelaksanaan BUDI95 sekitar bulan Oktober lalu, ada satu aduan di mana terdapat pihak mendakwa membuat pengisian RM50 namun jumlah itu kurang.
“Bagaimanapun selepas KPDN lakukan pemeriksaan bersama syarikat dilantik, maka kita dapati bahawa ia masih mengikut piawaian ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas sesi Walkabout Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Awam Kuala Perlis, semalam.
Pelaksanaan program BUDI95 membolehkan 16.55 juta rakyat Malaysia menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter
Dalam pada itu, Rohaida berkata, KPDN juga sememangnya melaksanakan operasi statik di semua 39 stesen minyak komersial dan dua stesen minyak tanpa subsidi di sekitar negeri ini.
“Sehingga kini, kita juga telah melakukan sebanyak 785 pemeriksaan di semua stesen minyak yang beroperasi di negeri ini
“KPDN tidak menerima sebarang aduan berhubung penyelewengan BUDI95 kepada warga asing di negeri ini malah seluruh warganegara juga dinasihat dapat memanfaatkan inisiatif ini sebaiknya,” katanya.-UTUSAN






