PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan perjumpaan dengan semua ahli Parlimen Bersatu di rumahnya di Bukit Damansara dekat sini, malam ini.
Perjumpaan di tengah-tengah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu mengundang pelbagai spekulasi termasuk usaha damai antara Muhyiddin dengan kem Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hubungan kedua-dua pemimpin itu sejak kebelakangan ini dikatakan renggang dan memuncak, susulan tindakan tatatertib terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dibuang dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahlian.
Bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof ketika mengesahkan perjumpaan itu berkata, ia hanyalah makan malam dianjurkan oleh Presiden bersama ahli Parlimen Bersatu.
Katanya, perjumpaan sedemikian bukanlah sesuatu yang aneh, sebaliknya pertemuan biasa antara kepemimpinan parti.
“Ya, Tan Sri akan menganjurkan makan malam bersama ahli Parlimen Bersatu. Ia perkara biasa. Sekali sekala memang Tan Sri akan menjemput mereka ke rumahnya untuk makan malam. Itu sahaja,” katanya kepada Nexbyte.
Kemelut dalaman Bersatu timbul susulan kebocoran akuan bersumpah membabitkan 120 ketua bahagian yang dikatakan mendesak Muhyiddin berundur daripada jawatannya ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pada September lalu.
Pergolakan sekali lagi tercetus apabila 16 daripada 25 ahli Parlimen Bersatu menyatakan rasa tidak puas hati dan kebimbangan terhadap kepemimpinan Muhyiddin dengan menandatangani satu surat yang diutuskan kepada Presiden.
Bagaimanapun, selepas Mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada awal bulan ini, Muhyiddin memaklumkan bahawa semua ahli MPT setuju menghentikan kemelut berkenaan.
“Kita menghadapi sedikit sebanyak masalah, tetapi semua bersepakat supaya kita mencari jalan seberapa segera yang mungkin untuk kembali bertaut sebagai satu jemaah yang cukup padu dan kuat,” katanya. – UTUSAN






