PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan melakukan kajian menyeluruh selepas parti itu hanya memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semalam.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah berkenaan bertujuan menilai persiapan, keberkesanan jentera serta pengukuhan jaringan akar umbi parti.
Menurutnya, PN akan terus berperanan sebagai suara pengimbang yang berprinsip serta memastikan mekanisme semak dan imbang berjalan dengan baik.
Selain itu, Muhyiddin menyatakan PN komited mempertahankan integriti pentadbiran serta membela kepentingan rakyat, sambil menyediakan alternatif politik yang stabil dan matang.
“PN menghormati keputusan PRN Sabah dan menerima mandat rakyat dengan penuh tanggungjawab, selaras usaha memperkukuhkan peranan parti dalam politik negeri,” katanya dalam enyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, yang menjadi satu-satunya calon PN yang berjaya meraih mandat pengundi pada PRN berkenaan iaitu di DUN Karambunai.
Beliau berkata, kemenangan Aliakbar yang merupakan Pesuruhjaya Pas Sabah itu menjadi motivasi bagi PN untuk bekerja lebih keras. – UTUSAN





