KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan tiga elemen perlu diberi perhatian dalam aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Malaysia yang dianggarkan bernilai hampir RM800 bilion, termasuk mempertahankan kedaulatan negeri pengeluar.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kedaulatan serta hak Terengganu sebagai negeri pengeluar perlu dilindungi demi kepentingan rakyat dan negeri.

Katanya, dua lagi elemen penting ialah memastikan hasil REE dijual pada harga kompetitif mengikut pasaran semasa dan mewujudkan industri pertengahan serta hiliran di negeri-negeri pengeluar.
“Kita tidak mahu terus bergantung kepada eksport bahan mentah. Negeri pengeluar perlu membangunkan industri hiliran agar limpahan ekonomi dapat dirasai semua pihak,” katanya.
Kira-kira 40 peratus daripada deposit REE negara dikenal pasti berada di Terengganu, dengan 70 peratus daripadanya terletak di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).
Daripada jumlah itu, dianggarkan 70 peratus berada di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) manakala selebihnya di tanah negeri.
“Hingga kini, kerajaan negeri belum memperoleh hasil daripada perlombongan REE dan antara kekangan utama ialah prosedur operasi standard (SOP) yang kurang jelas dari Kerajaan Persekutuan serta kebergantungan kepada teknologi luar.
Mohd. Nurkhuzaini turut meminta kandungan perjanjian dagang antara Malaysia dan AS dimeterai baru-baru ini diteliti kerana berpotensi menjejaskan hak negeri sumber REE.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd. Harun Esa menuntut penjelasan Kerajaan Pusat sama ada Majlis Mineral Negara bersidang sebelum perjanjian itu ditandatangani. – UTUSAN






