KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan terhadap hantaran di media sosial tidak boleh bersifat berat sebelah dan tidak boleh digunakan untuk menekan pembangkang atau mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan kerajaan.
Datuk Idris Ahmad (PN–Bagan Serai) berkata, peningkatan peruntukan kawalan pematuhan di bawah Kementerian Komunikasi menimbulkan kegusaran kerana wujud persepsi tindakan penguatkuasaan lebih kerap dikenakan terhadap pihak yang berbeza pandangan dengan kerajaan, berbanding dilaksanakan secara sama rata ke atas semua pihak.
Katanya, walaupun peruntukan Kawalan Pematuhan (Butiran 030200) meningkat 38 peratus iaitu daripada RM1.8 juta pada 2025 kepada RM1.5 juta pada 2026, masih wujud persoalan mengenai kesamarataan tindakan penguatkuasaan.
Beliau turut memberi contoh kes penghinaan terhadap Nabi SAW oleh seorang pempengaruh dan selebriti yang hanya dikenakan denda RM10,000, sedangkan kes serupa melibatkan orang awam sebelum ini dikenakan hukuman penjara 30 bulan.
“Ini yang menimbulkan persoalan. Kritikan politik itu perkara biasa, tetapi tidak wajar sehingga ada cadangan sekatan terhadap platform seperti TikTok,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Idris turut kecewa dengan hantaran pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwa berbentuk penghinaan terhadap tokoh tertentu yang sangat tidak wajar daripada sudut agama atau budaya.
“Penguatkuasaan patut fokus kepada penghinaan keterlaluan, bukan kritikan politik biasa. Ini garis yang perlu diperjelaskan,” katanya.
Idris turut membangkitkan isu perjanjian komunikasi antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) di bawah Butiran 010400 Pembangunan termasuk sejauh mana ia menjejaskan kebebasan dasar komunikasi negara, keselamatan data serta jaminan kos infrastruktur tidak meningkat.
Beliau turut menyentuh fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang perlu kekal menyampaikan dasar kerajaan secara profesional dan tidak digunakan sebagai alat kempen parti, memandangkan ia dibiayai dana awam. – UTUSAN






