PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar keretanya dalam kejadian di Kilometer 260.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah Selatan dekat Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, mangsa yang berusia 31 tahun dan bekerja di sebuah syarikat penapis air dilaporkan sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang sebelum insiden tragis itu berlaku.
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dan sebuah lori kontena jenis Volvo.
” Pemandu SUV tersebut dikatakan memberhentikan kereta di lorong kecemasan untuk menukar tayar kenderaannya.
“Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu,” katanya.
Jelas beliau, akibat kemalangan ini, pemandu SUV yang mengalami kecederaan parah di anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN


