KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menjalinkan kerjasama strategik bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), sekali gus menjadi jumlah tertinggi pernah direkodkan setakat ini.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara YADIM dan semua universiti terlibat pada satu majlis yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, MoU berkenaan merangkumi pelbagai bidang kerjasama termasuk penyelidikan, penerbitan, pembangunan kepimpinan mahasiswa serta pelaksanaan khidmat masyarakat.
“Alhamdulillah, objektif utama kerjasama ini adalah untuk memperkasakan agenda dakwah agar ia lebih berimpak tinggi kepada masyarakat dan negara.
“Ia merangkumi pembangunan menyeluruh yang turut melibatkan aspek dakwah dengan memanfaatkan kepakaran sedia ada di universiti dan YADIM,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. – UTUSAN






