KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan sebanyak 3,230 kes baharu HIV pada 2023 dengan hampir 90 peratus jangkitan melibatkan golongan lelaki, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap corak penularan penyakit itu di negara ini.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 62 peratus kes dikenal pasti melibatkan lelaki yang menjalinkan hubungan sejenis, angka yang disifatkan terlalu tinggi berbanding peratus kumpulan itu dalam komposisi populasi negara.
Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, pola jangkitan itu menunjukkan penularan aktif sedang berlaku dalam rangkaian tertentu dan tidak boleh dianggap sebagai isu terpencil.
Menurut beliau, dominasi statistik oleh kumpulan kecil adalah petunjuk risiko jangkitan bukan sahaja tinggi, malah berulang dan konsisten.
“Ini bukan lagi isu orientasi, sebaliknya isu kesihatan awam yang mendesak. Jika trend ini berterusan, ia berisiko mengembangkan rantaian jangkitan secara lebih meluas,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Beliau berkata, data turut menunjukkan 88 peratus daripada kes baharu HIV melibatkan individu berusia antara 20 hingga 49 tahun, manakala lapan peratus berusia 50 tahun ke atas dan selebihnya remaja berumur 19 tahun ke bawah.
Katanya, amalan hubungan seks anal dikenal pasti sebagai salah satu faktor risiko tertinggi penularan HIV, khususnya dalam kalangan lelaki.
“Masalah HIV bukan hanya soal seks selamat atau tidak, tetapi jenis perlakuan berisiko itu sendiri sangat menyumbang kepada jangkitan. Masyarakat perlu sedar bahawa tiada penawar untuk HIV, hanya rawatan bagi mengawal virus,” katanya.
Dr. Rafidah yang juga Naib Presiden II Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) turut mengaitkan peningkatan kes dengan pengaruh media sosial dan aplikasi temu janji yang semakin mudah diakses, termasuk oleh golongan muda.
Katanya, walaupun beberapa aplikasi telah disekat sebelum ini, kemunculan platform baharu yang sukar dipantau terus menjadi cabaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperketat pemantauan dan tindakan terhadap aplikasi berisiko, selain menyokong langkah kerajaan mengawal akses media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sebagai usaha awal membendung penularan.
Memetik Laporan Pemantauan AIDS Global 2023 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 90 peratus penghidap HIV di Malaysia terdiri daripada golongan lelaki dan hanya 10 peratus melibatkan golongan wanita.
Golongan profesional atau ‘kolar putih’ kini dikenal pasti sebagai kumpulan utama yang terlibat dalam hubungan sesama jenis sehingga menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan HIV di Malaysia.
Lebih membimbangkan, corak penularan HIV kini semakin berubah daripada pengguna dadah suntikan (PWID) kepada hubungan seksual terutama melibatkan hubungan sejenis (MSM) dan ia dijangka menjadi kumpulan utama dengan jangkitan HIV menjelang 2030. – UTUSAN






