SENTIMEN parti tempatan dan peralihan sokongan pengundi Cina menjadi faktor kejutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) meraih kemenangan besar dan mengejar saingan sengit membentuk kerajaan negeri.
Kedua-dua faktor itu menjadi penolakan parti Semenanjung seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) yang diterjemahkan dalam keputusan PRN Sabah yang diumumkan pada lewat pagi semalam.
BN hanya memenangi enam Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH dan PN masing-masing satu kerusi sekali gus memperlihatkan bahawa kempen kenegerian berjaya mempengaruhi kecenderungan 1.14 juta pengundi ekoran beberapa isu dikaitkan dengan Sabah.
Ia khususnya membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) dan tuntutan 40 peratus hasil Sabah serta isu kemudahan pembangunan di Sabah yang masih belum menemui titik noktah walaupun pelbagai janji dikemukakan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Lebih mengejutkan calon Bebas berjaya mendapat lima kemenangan manakala terdapat dalam kalangan baki calon meraih undi tertinggi serta tidak pulang dengan hilang wang deposit, seperti di Lamag, calon Bebas mendapat undi kedua tertinggi selepas penyandang, Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Pengerusi BN Sabah.
Selain itu, PH khususnya DAP bukan sahaja kalah di semua lapan kerusi ditandinginya malah gagal mempertahankan kubu kuatnya seperti Likas dan Luyang meskipun kawasan itu merupakan majoriti kaum Cina dan terdiri daripada pengundi bandar yang merupakan aset utama parti tersebut.
Kehadiran Warisan yang dilihat seolah-olah alternatif kepada pengundi Cina dan atas pagar telah menyebabkan parti itu mendapat tempat berbanding lain sekali gus mendorong calon-calon diketengahkan memiliki majoriti besar dan berjaya menewaskan pemimpin utama DAP.
Ia seolah-olah wujud peralihan sokongan pengundi Cina dikatakan tidak berpuas hati dengan PH dan DAP kerana bersama GRS yang dibayangi isu skandal di samping kegagalan strategi parti itu yang tidak menggunakan logo roket pada kali ini. Malah calon PKR juga menerima tempias sama dan menyebabkan mereka menang hanya satu daripada 12 kerusi ditandingi.
BN juga mengalami kemerosotan signifikan walaupun BN ada sejarah lama di Sabah, tetapi hanya mampu memperoleh enam kerusi yang menunjukkan jenama BN dan parti Semenanjung umumnya terus berdepan cabaran khusus dalam landskap politik Sabah terkini.
Begitu juga PN walaupun Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan menyumbang satu kemenangan di Karambunai, namun ia bukan disebabkan parti tetapi figura individu itu yang dikenali masyarakat manakala calon PN lain gagal menembusi lanskap politik negeri kerana strategi kempen yang banyak bergantung pada sentimen nasional memberi kesan negatif terhadap penerimaan pengundi di kawasan bercampur etnik,
Secara keseluruhan, keputusan PRN Sabah memperlihatkan jenama parti Semenanjung semakin hilang taring dengan pengundi lebih cenderung menilai keupayaan parti berdasarkan kehadiran tempatan, rekod kepimpinan negeri dan keupayaan menuntut hak autonomi yang dianggap telah lama tertangguh.
Realitinya, kemenangan GRS dan Warisan bukan sekadar populariti, tetapi tuntutan rakyat Sabah agar isu-isu negeri diutamakan dalam pentadbiran. Jika kerajaan baharu gagal menunaikan harapan ini, gelombang sokongan mungkin sekali lagi berubah.
Namun buat masa ini, mesej rakyat jelas Sabah mahukan masa depan ditentukan oleh parti dan kepemimpinan tempatan. – UTUSAN






