PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini menumpukan untuk memberikan latihan intensif kepada anggota Angkatan Tentera Lubnan (LAF) sebelum pengunduran penuh pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di negara itu.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar berkata, latihan intensif bagi membolehkan LAF bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih penugasan yang selama ini digalas oleh pasukan Malbatt menerusi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).
“Sebahagian peralatan juga akan kita tinggalkan sebagai bantuan kepada kerajaan Lubnan. Ini termasuk latihan bagi memastikan mereka memahami interaksi operasi antara dua pasukan serta mampu mengendalikan aset yang diserah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan pasukan Malbatt dijangka berundur dari Lubnan menjelang tahun 2027.
Langkah itu susulan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung mandat Unifil. Pasukan terakhir Malbatt ke Lubnan akan tamat pada 2026.
Mohd. Nizam berkata, kem Malaysia di Tibnin dan Harris dijadual dikosongkan pada bulan Jun tahun depan sebelum semua anggota digabungkan di Marakah untuk proses serah tugas kepada LAF.
“ATM kini sedang menilai aset yang sesuai ditinggalkan, memandangkan beberapa briged baharu telah ditubuhkan di kawasan berkenaan,” katanya.
Tambah beliau pengunduran penuh Malaysia daripada Lubnan dijangka selesai Disember tahun depan namun sebahagian kecil anggota mungkin kekal sementara bagi menguruskan baki aset sebelum pulang.
Dalam pada itu, beliau berkata, ATM masih belum menerima sebarang arahan rasmi mengenai penugasan kemanusiaan di Gaza.
“Kami telah bersiap sedia untuk diatur gerak dengan membuat persiapan awal melibatkan elemen logistik, kejuruteraan dan perubatan. Kami kini sedang menunggu keputusan PBB mengenai bentuk penugasan untuk ketumbukan Malaysia nanti,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, ATM akan terus memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Mohd. Nizam berkata, semua prosedur operasi standard (SOP) latihan telah disemak semula dan pihaknya akan berpandukan kepada hasil siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Setakat ini, tiada kekurangan daripada SOP latihan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaporan dan latihan seharian. SOP sentiasa dikemas kini dan kami akan memberikan kerjasama sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN






