PETALING JAYA: Keadaan banjir yang melanda negara dilihat semakin pulih apabila mencatatkan penurunan dengan hanya empat negeri dilaporkan terjejas, setakat 6 petang semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat negeri itu termasuk Pahang dengan 6,715 mangsa, Terengganu dengan 552 mangsa, Selangor pula mencatatkan 47 mangsa manakala Sarawak dengan 18 mangsa.
Setakat ini, seramai 7,332 mangsa melibatkan 2,461 keluarga masih memerlukan penempatan di 73 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 12 daerah sekitar negeri terlibat.
Di Pahang, sebanyak 2,268 keluarga dengan jumlah 6,715 ahli ditempatkan di 65 PPS melibatkan tujuh daerah termasuk Kuantan, Pekan, Jerantut, Rompin, Bera, Maran dan Temerloh.
Bagi Terengganu, sebanyak lima buah PPS dibuka di daerah Kemaman dan Dungun untuk menempatkan 552 mangsa daripada 182 keluarga yang terjejas.
Selangor dan Sarawak pula hanya membuka satu PPS masing-masing di Gombak dan Miri sebagai penempatan bagi lapan keluarga merangkumi 47 ahli (Gombak) manakala satu keluarga dengan empat ahli (Miri). – UTUSAN






