SEREMBAN: Polis menahan dua lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tembakan membabitkan dua mangsa yang berada di dalam sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Rasah di sini pada 10 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Bagan Serai, Pulau Pinang semalam.
“Secara keseluruhan, seramai lima suspek lelaki telah ditahan dan polis turut merampas satu senjata api jenis separa automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azahar berkata, kedua-dua suspek terbabit kini direman selama lima hari bermula semalam sehingga 19 Disember ini bagi melengkapkan siasatan.
“Bagi tangkapan sebelum ini, kesemua suspek direman selama lima hari bermula 11 Disember lalu dan disambung reman sehingga 19 Disember ini. – UTUSAN




