KUCHING: Hasil awal daripada rundingan antara Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dijangka dapat diketahui seawal tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata proses rundingan telah pun bermula, termasuk pertukaran surat-menyurat antara kedua-dua syarikat minyak nasional dan negeri itu.
“Setakat ini, memang sudah ada surat-menyurat antara PETRONAS dan PETROS, dan diharapkan menjelang awal tahun hadapan kita sudah dapat mengetahui beberapa hasil daripada rundingan tersebut.
Diharapkan ada persetujuan kerana pertukaran surat-menyurat sudah ada. Jadi, kita tunggu masing-masing mengemukakan persetujuan. Kalau tidak ada, pada akhirnya terpaksa pergi ke mahkamah,” katanya dalam sesi forum sempena Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada tarikh ditetapkan bila keseluruhan perkara itu akan dimuktamadkan.
“Mestilah ada tarikh akhir tetapi itu belum dapat dipastikan,” katanya.
Terdahulu, Fadillah berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak bersetuju untuk mencari penyelesaian secara komersial berhubung kerjasama antara PETRONAS dan PETROS bagi mengelakkan pertikaian undang-undang yang berpanjangan.
Beliau berkata pendekatan itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana proses perundangan melalui mahkamah bukan sahaja rumit dan memakan masa, malah berisiko menyebabkan situasi kalah-kalah kepada semua pihak.
Justeru, katanya kedua-dua syarikat minyak itu dipersetujui untuk duduk semeja bagi meneliti semua ruang kerjasama yang boleh dimanfaatkan bersama.
“Jika kita mengikut tafsiran undang-undang sepenuhnya, proses penyelesaian akan menjadi lebih panjang dan kompleks kerana perlu melalui mahkamah. Pada akhirnya, ia mungkin tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak.
“Pendekatan menang-menang ini bukan sahaja akan memberi faedah kepada negara, tetapi juga kepada komuniti perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sektor minyak dan gas merupakan tonggak penting kepada ekonomi negara, khususnya Sarawak, dan memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pemain industri.
Beliau berkata, PETRONAS dianggarkan telah melaburkan kira-kira RM290 bilion dalam pembangunan sektor minyak dan gas bagi membolehkan aktiviti diteruskan di perairan negara, manakala Sarawak pula menerima pulangan besar melalui royalti, dividen serta pemilikan saham strategik.
“Kejayaan sektor ini banyak bergantung kepada keselamatan keseluruhan rantaian bekalan daripada penerokaan, pembangunan, pengeluaran hingga eksport,” katanya.
Sehubungan itu, Amir menegaskan semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan kestabilan itu kerana sebarang geseran dalam industri boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan seterusnya memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.
“Apabila kepercayaan hilang, pelaburan akan terhenti dan itu adalah keadaan yang kita tidak mahu berlaku,” katanya. – UTUSAN





