PETALING JAYA: Hujan berterusan yang dijangka melanda hujung minggu ini bukan pada paras ekstrem berdasarkan ramalan model cuaca.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, bagi mengetahui sama ada keadaan tersebut berpotensi membawa kepada banjir besar atau sebaliknya, ia perlu dirujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, analisis model ramalan cuaca menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku pada 14 hingga 17 Disember.
“Keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur Semenanjung dan barat Sarawak serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN






