PETALING JAYA: Satu inkues perlu dilaksanakan bagi menyiasat kematian tiga lelaki yang didakwa ditembak mati oleh polis di Melaka bulan lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, saranan pelaksanaan prosedur inkues itu selaras Seksyen 333 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Beliau membuat cadangan itu berikutan percanggahan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan rakaman audio yang didedahkan keluarga mangsa.
“Percanggahan tersebut membimbangkan dan tindakan segera perlu diambil, selain menegaskan bahawa sebarang kematian membabitkan pihak berkuasa perlu disiasat secara telus.
“Prosiding ini membolehkan koroner sebagai pihak bebas, menjalankan pemeriksaan menyeluruh, selain menjadi saluran bagi pihak berkaitan memberi pandangan dan mempertimbangkan semua bukti.
“Prosiding inkues juga membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan kes berkenaan serta kekal yakin terhadap integriti proses terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kulasegaran berkata, persekitaran kes ini menuntut tindakan lebih menyeluruh walaupun beliau mengalu-alukan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman suapaya keadilan ditegakkan.
“Prosiding inkues boleh dijalankan secara serentak dengan siasatan PDRM seperti yang berlaku dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu di Sabah, Zara Qairina Mahathir,” katanya.
Kulasegaran berkata, majistret mempunyai kuasa di bawah Seksyen 333 Akta 593 untuk mengarahkan inkues bagi kes kematian mencurigakan atau mengejut sekiranya bedah siasat tidak dijalankan.
Katanya, ia bagi membolehkan pegawai penyiasat mencari punca kematian terutama jika terdapat keraguan atau pelanggaran prosedur pihak berkuasa serta melindungi hak keluarga untuk siasatan menyeluruh.
“Prosedur termaktub dalam Akta 593 perlu dipatuhi sepenuhnya pihak berkuasa bagi mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme undang-undang, meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan, dan memastikan kedaulatan undang-undang dijunjung.
“Setiap usaha perlu dilakukan agar semua saluran dipertimbangkan sepenuhnya. Kedaulatan undang-undang adalah asas negara dan semua pihak perlu mematuhi serta bertindak selaras peruntukan perundangan sedia ada,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan kejadian tiga suspek ditembak mati selepas mencederakan polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.
Tindakan itu susulan laporan keluarga mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa dan pasukan khas ditubuhkan di peringkat JSJ Bukit Aman bagi mengendalikan siasatan itu.
Ketiga-tiga suspek, dua berusia 24 tahun dan seorang 29 tahun dikatakan penjenayah kes samun paling dikehendaki dan menjadi anggota Geng DT. Mereka ditembak mati selepas dikatakan menyerang anggota polis dengan parang panjang ketika cuba ditahan di ladang kelapa sawit.
Geng itu dipercayai terlibat dalam 20 kes pecah rumah, kilang dan kedai makan sejak 2024 dengan kerugian dianggarkan RM1.3 juta. – UTUSAN





