ARAU: Kerajaan Negeri Perlis akan mengubah corak dan cara perkhidmatan dengan berteraskan konsep 3B iaitu bangkit, bingkas dan buat.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, bangkit, bingkas dan buat adalah trademark untuk pastikan semua dapat menggembleng tenaga dalam menyaksikan kejayaan buat negeri Perlis.
Katanya, rombakan exco kerajaan negeri juga sedang diperhalusi buat masa ini dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.
“Barisan exco saya akan bincang dan kemukakan cadangan kepada Raja Perlis. Ini akan ambil masa sikit dan exco sedia ada sekarang akan jadi caretaker untuk majlis-majlis yang telah dirancang,” katanya selepas sesi clock in di Pejabat Menteri Besar, di sini semalam.
Ketibaan beliau di Kompleks Seri Putra pada pukul 9 pagi disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail bersama barisan pegawai kanan kerajaan dan kakitangan Pejabat Menteri Besar.
Dalam pada itu, Abu Bakar mengumumkan pemotongan gaji beliau sebanyak RM3,000 pada setiap bulan.
Selain itu, gaji exco kerajaan negeri yang bakal dilantik selepas ini juga akan turut dipotong sebanyak RM1,500 sebulan.
Abu Bakar berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha dilakukan beliau bagi menstabilkan ekonomi rakyat termasuk membantu mengurangkan bebanan kewangan negeri.
“Kita kena memberi khidmat kepada rakyat serta negeri dan disebabkan itu saya dengan rela hati bersetuju dengan pemotongan gaji ini,” katanyai.
Semalam, Abu Bakar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis Kesembilan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau.
Beliau dilantik susulan krisis didakwa melanda kerajaan negeri sebelum ini apabila lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) Perlis dikatakan telah bertemu Raja Perlis dengan majoriti menyatakan telah hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Abu Bakar berkata, tugas yang diamanahkan kepada beliau merupakan satu tanggungjawab besar dan akan diteruskan demi kebaikan rakyat dan negeri ini.
“Saya yakin dan percaya dengan kepimpinan dan pengalaman sedia ada oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bersama pegawai-pegawai kerajaan negeri dapat membantu untuk hasilkan pentadbiran yang sempurna. – UTUSAN






