PETALING JAYA: Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol mahu memberi tumpuan kepada pembangunan belia dan sukan di peringkat akar umbi.
Katanya, itu fokus awal yang beliau mahu berikan selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya sedar akan keterbatasan diri dan keperluan untuk terus belajar.
“Pengalaman sebagai wakil rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar, akan menjadi panduan dalam menyumbang secara berperingkat dan berlandaskan realiti di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naib Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, pengalaman beliau sebagai wakil rakyat di kawasan luar bandar akan dijadikan panduan utama dalam menyumbang secara berperingkat dan realistik. – UTUSAN






