KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkait kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili bekas Presiden UMNO itu mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi media.
Tambahnya, notis rayuan itu difailkan malam tadi.
Pada 24 Disember lalu, Najib turut memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Titah Adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah adalah tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.
Pada 26 Disember lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana itu.
Antara alasan yang diberikan hakim berkenaan dalam prosiding yang berlanjutan sehingga 10 malam ialah surat derma Arab adalah palsu dan Najib tidak lagi sepatutnya menggunakan alasan tersebut.
Tambahnya, Najib dalam keterangannya tidak pernah menafikan bahawa wang yang diseleweng itu masuk ke dalam akaun peribadinya dan turut mengenali ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Bagi empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Najib dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Hukuman penjaranya bagi empat kesalahan terbabit boleh ditambah lagi 40 tahun sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.
Bagi 21 kesalahan pengubahan wang haram, Najib dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan.
Untuk sembilan tuduhan pertama, jumlah aset yang boleh disita (recoverable sum) selaras dengan peruntukan Seksyen 55 (2) Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 ialah sebanyak RM2,081,476,926.
Sekiranya jumlah tersebut tidak dapat diperoleh, hukuman penjara Najib boleh ditambah lagi 22 tahun lima bulan.
Hukuman penjara bagi kesemua 25 pertuduhan dalam kes penyelewengan dana 1MDB diarahkan berjalan secara serentak tetapi berasingan dengan hukuman penjara yang sedang dijalani Najib sekarang atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Ini bermakna, sebaik sahaja Najib selesai menjalani hukuman penjaranya yang dijangka akan selesai pada Ogos 2028 (sekiranya Najib membayar denda RM50 juta bagibkes SRC International), hukuman bagi kesalahan penyelewengan dana 1MDB akan bermula. – UTUSAN





