PETALING JAYA: Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah untuk mengukuhkan kedudukan DAP setelah diberi ancaman untuk keluar dari kerajaan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rombakan kabinet menyaksikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri bertanggungjawab Wilayah Persekutuan selain pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di tangan seorang lagi pemimpin DAP menimbulkan kebimbangan.
“Pas beranggapan sekiranya jawatan kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan dan kesetiaan mana-mana pihak, maka jelas bahawa ia merupakan hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip, sekali gus melemahkan integriti proses pembentukan serta penggubalan dasar negara.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan mendalam bahawa ia merupakan percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain di negara ini yang bertujuan membolehkan sebuah parti membentuk dan mewarnakan dasar perbandaran, penggunaan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan tanpa proses semak imbang yang berkesan dan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lebih membimbangkan ialah persepsi meluas bahawa pelantikan yang dibuat tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar tetapi tekanan dan tawar-menawar politik.
“Pas mengambil perhatian tentang spekulasi bahawa ia berkait rapat dengan kata dua politik oleh DAP, termasuk ancaman parti itu untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya beberapa tuntutannya, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah-sekolah persendirian Cina tidak dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu sudah pasti akan menimbulkan keresahan awam serius, terutama dengan kehadiran inisiatif undang-undang kontroversial seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dilihat berpotensi meminggirkan kelompok penduduk bandar tertentu, terutama orang Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah.
“Penerusan pendekatan pentadbiran yang dilihat mendahulukan percaturan dan kepentingan politik elit bandar dengan mengabaikan kepentingan dan sentimen sah rakyat akar umbi ini akan melebarkan jurang sengketa antara kumpulan-kumpulan dalam masyarakat dan juga antara wilayah dan lokaliti. Ini seterusnya akan menyumbang kepada kelunturan kesatuan kebangsaan negara,” katanya.
Takiyuddin berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan bukanlah portfolio biasa, sebaliknya ia mewakili jantung politik dan pentadbiran negara.
“Justeru pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin daripada sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan besar, sah dan tidak dapat dielakkan berkait isu-isu ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara.
Takiyuddin berkata, Pas mendapati pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri lain turut menimbulkan keraguan serius berkait isu-isu kekananan, pengalaman, kompetensi, ketrampilan, kredibiliti dan kesesuaian.
“la juga mesti menggambarkan kemajmukan masyarakat kita melalui perwakilan yang adil dan berkesan serta pelantikan berdasarkan merit, kedewasaan dan pandangan jauh, “ katanya. – UTUSAN






