PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dilihat gagal memahami isu sebenar pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sehingga tidak dapat membezakan dengan keperluan penguasaan bahasa Mandarin.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, Mohd. Rafizi sepatutnya memahami tiga perkara asas dalam sistem pendidikan negara iaitu tentang isu bahasa kebangsaan, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan kebangsaan.
Beliau berkata, tiada mana-mana pihak yang menghalang bahasa Mandarin dikuasai oleh anak-anak di negara ini, malah galakan sentiasa diberikan dalam menguasai banyak bahasa.
“Kalau alasan beliau beri sokongan pada UEC demi untuk anak-anak menguasai bahasa Mandarin kerana bahasa itu adalah bahasa ekonomi dunia, beliau silap besar.
“Sepatutnya beliau sokong memperkasakan bahasa Mandarin di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK). Tambah guru bahasa Mandarin dan tambah waktu untuk anak-anak belajar bahasa Mandarin di SK, SJKC dan SMJKC. Semua sekolah ini adalah sekolah aliran kebangsaan. Itu yang sepatutnya beliau cadangkan.
“Bukan dengan menyokong UEC yang terang -terang melanggar Perkara 152 Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan Akta Pendidikan 1996,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohd Rafizi menerusi sesi audio siar Yang Berhenti Menteri mengenai UEC yang dikatakan hanya melibatkan sebahagian kecil pelajar kerana sebanyak 80 peratus pelajar Cina masih melalui sistem pendidikan kebangsaan.
Katanya, perkara itu penting kerana bahasa Mandarin berpotensi mengatasi bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dalam tempoh dua dekad lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tuntutan termasuk untuk mengiktiraf UEC tidak boleh meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Beliau berkata, mana-mana tuntutan itu tidak boleh dibincangkan secara terpisah daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas Bahasa Kebangsaan.
Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang menyatakan hasrat bertemu Perdana Menteri bagi meminta kerajaan mengiktiraf UEC. – UTUSAN






