PETALING JAYA: Datuk Seri R. Ramanan yang bertukar portfolio kementerian menyifatkan pelantikannya sebagai menteri satu tanggungjawab besar yang perlu digalas.
Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi diumumkan sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu menggantikan Steven Sim Chee Keong.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, beliau akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab penuh dedikasi demi menjamin harapan rakyat seiring gagasan Malaysia Madani.
“Saya akan mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan tertinggi KESUMA dalam tempoh terdekat, selepas proses menghadap dan mengangkat sumpah,” katanya.
Sementara itu, Datuk Dr. Zaliha Mustafa merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan melantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), sambil menegaskan keputusan kepimpinan dibuat berlandaskan kepentingan negara bagi memastikan kerajaan kekal stabil, dan fokus pada agenda reformasi.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai menteri baharu dan terus menyokong penuh agenda kerajaan demi negara dan rakyat. – UTUSAN






