KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran rokok secara haram menerusi Op Taring Alpha 1 di Klang, Selangor pada Rabu lalu.
Lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 kira-kira pukul 2.30 petang itu.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Amanjit Singh berkata, pihaknya turut merampas 750 karton rokok putih yang dipercayai tidak memliki cukai kastam dan sebuah kenderaan jenis Nissan Almera disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran.
Beliau berkata, suspek yang diberkas ketika serbuan dipercayai berperanan sebagai pekerja yang mengedar rokok seludup bagi pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor itu.
“Pemeriksaan ke atas sebuah rumah teres di lokasi terbabit menemukan sebanyak 750 karton rokok putih dipercayai tidak memiliki cukai kastam.
“Premis kediaman itu dijadikan stor simpanan sebelum rokok seludup diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang dan Selangor menggunakan kenderaan.
“Hasil keseluruhan rampasan dalam serbuan terbabit dianggarkan RM320,000.
“Kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang (IPD) Selatan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 167,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.- UTUSAN





