KUALA LUMPUR: Ketiadaan bidang kuasa penguatkuasaan syariah di Kuala Lumpur menjadi antara faktor utama tindakan terhadap aktiviti songsang di pusat spa dan kesihatan sekitar ibu negara tidak memberikan kesan menyeluruh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihak berwajib perlu meneliti alternatif terbaik termasuk pindaan undang-undang agar usaha menangani gejala tidak bermoral itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Dari sudut penguatkuasaan agama syariah, ia hanya wujud di Selangor. Di Kuala Lumpur, tidak ada.
“Setakat ini, kita hanya meminta mereka hadir sesi pemulihan dan mendengar ceramah. Apa yang saya lihat, jika kita tidak berubah atau membuat pindaan undang-undang, habis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tangkapan 202 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan songsang di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, kelmarin.
Namun 171 lelaki warga tempatan yang juga pengunjung pusat kesihatan itu dibebaskan selepas polis gagal mendapat perintah reman terhadap mereka.
Bagaimanapun, 31 warga asing yang turut ditahan dalam serbuan sama direman selama dua hari bermula semalam untuk membantu siasatan lanjut.
Fadil berkata, tanpa tindakan konkrit, segala operasi dan usaha pihak berkuasa tidak akan membawa hasil.
“Perkara berkenaan akan menjadi lebih buruk. Walaupun kami mengambil tindakan, namun tiada keberhasilan. Itu yang ingin saya tegaskan,” ujarnya. – UTUSAN





