KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kes dakwaan fitnah melibatkan video tular membabitkan bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri.
Albert berkata, dia dihubungi pihak polis semalam dan diminta untuk hadir ke Bukit Aman hari ini berkaitan video membabitkan Sofia Rini Buyong dan bekas setiausaha politik kanan tersebut.
“Saya akan bekerjasama untuk siasatan ini tetapi saya tidak akan berundur daripada apa yang saya lihat sebagai perjuangan saya untuk keadilan,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.
Turut hadir, peguam, Zaid Malek, Mahajoth Singh dan N. Surendran.
Selain itu, Albert turut mempersoalkan rakaman kamera litar tertutup dari kediamannya masih belum dipulangkan selepas dua bulan diambil pihak polis bagi siasatan kes dakwaan bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata semasa serbuan di kediamannya di Puchong pada 28 November lalu.
“Saya mahu pihak berkuasa mendedahkan rakaman tersebut kepada umum bagi menjelaskan dakwaan yang mengelilingi kejadian pecah masuk sebelum ini di kediamannya. Sehingga kini, apa status siasatan walaupun saya sudah berkali-kali bertanyakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Dia turut mempersoalkan perkembangan siasatan skandal rasuah Sabah oleh SPRM yang melibatkan beberapa tokoh berprofil tinggi.
“Mengapa rakaman keterangan saya berikan kepada SPRM yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi telah dibocorkan. siasatan dalaman perlu dijalankan kerana ‘tikus’ dalam SPRM yang membocorkan maklumat sulit.
Sementara itu, peguam, Surendran berkata, Albert dimaklumkan akan diambil keterangan berhubung siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Kita tidak tahu siasatan berkaitan apa namun kita akan memberikan kerjasama,”katanya.
4 Disember lalu, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Penahanan itu selepas pendedahan seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Berikutan itu, Shamsul Iskandar dan Albert direman enam hari sehingga 4 Disember, manakala Sofia Rini direman selama empat hari bagi membantu siasatan. – UTUSAN






