KUALA LUMPUR: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard terkejut dan kecewa apabila menjadi sasaran serangan dalaman parti itu ekoran teguran terbuka terhadap kepemimpinan parti.
Katanya, serangan berkenaan susulan tindakannya menyuarakan teguran agar pimpinan parti lebih berani memperjuangkan isu rakyat dan tidak hanya kekal dalam zon selesa.
“Teguran dibuat berlandaskan maklum balas diperoleh ketika saya bertemu masyarakat di pelbagai lapisan peringkat.
“Persoalan sering timbul ialah mengapa pembangkang dilihat lembab dan lemah.
“Itulah teguran saya, tetapi akhirnya saya sedar, siapa yang menyerang atau mengkritik dianggap musuh, dimusuhi dalam parti, dikenakan tindakan dan diancam pemecatan,” katanya pada sidang akhbar pendedahan penting melibatkan isu kepentingan awam dan integriti nasional di sini semalam.
Pengalaman itu memberi kesan mendalam terhadap dirinya, termasuk panggilan ke Balai Polis Dang Wangi dan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Badrul Hisham berkata, kehadiran ke SPRM adalah atas jemputan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki bagi memberi maklumat berkaitan pendedahan dinamakan Operasi Sun Tzu yang turut disaksikan oleh rakan media arus perdana.
“Sebelum dikenakan sebarang siasatan, saya memenuhi jemputan tersebut dan membacakan perenggan satu hingga enam pendedahan yang dinamakan Operasi Sun Tzu, selain menyerahkan laporan secara rasmi kepada SPRM berkaitan kes rasuah bernilai jutaan ringgit membabitkan beberapa individu dan projek pembekalan kepada kerajaan.
“Antara dakwaan termasuklah seorang ahli perniagaan yang menyerahkan sejumlah wang bagi projek pembekalan, tetapi projek tersebut akhirnya diberikan kepada syarikat lain yang bermasalah selepas surat hasrat (LOI) dibatalkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Badrul Hisham berkata, ahli perniagaan tersebut sedang menyaman Kementerian Kewangan di mahkamah, dan syarikat yang menerima projek itu pula sedang berdepan pendakwaan jenayah pemalsuan dokumen bumiputera.
Katanya, pendedahan serius dibuat di hadapan SPRM sambil disaksikan ramai media sepatutnya menjadi berita utama, tetapi perkara itu tidak berlaku.
“Sebagai Ketua Bahagian Bersatu yang mendedahkan isu berkepentingan awam, saya kecewa kerana ia tidak mendapat liputan sewajarnya.
“Ini kerana kes-kes seperti ini sering digunakan oleh rejim untuk mengekang dan mengikat pimpinan politik.
“Mana-mana individu atau parti yang bertindak lebih bebas akan ditekan, malah dimarahi jika membuat keputusan tanpa mendapat restu pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN






