PETALING JAYA: Pemprosesan sisa elektronik (e-waste) tidak wajar dilihat sebagai peluang ekonomi kerana ia boleh membebaskan lebih 1,000 bahan kimia yang mengandungi logam berat seperti plumbum dan merkuri.
Negara besar seperti China melarang pengimportan sisa e-waste, sehingga sindiket memindahkan operasi mereka ke Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Penyelidik Basel Action Network, Wong Pui Yi berkata, tiada peluang ekonomi yang mampu dijana melalui e-waste, selain kesan teruk dan berpanjangan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia termasuk risiko kanser dan kecacatan.
“Bahan kimia ini menjadi lebih toksik apabila dicairkan atau dibakar. Ia boleh menyebabkan kerosakan sistem saraf, termasuk kerosakan otak dan gangguan endokrin, kanser, kecacatan kelahiran dan lain-lain,” katanya kepada Nexbyte.
Menurutnya, kebanyakan aktiviti kitar semula yang berlaku di kilang haram dijalankan secara separuh apabila sesetengah bahan dikitar semula dengan cara yang sangat mencemarkan.
Malah, katanya, ada bahan daripada sisa e-waste perlu disingkirkan dan dibuang secara haram di ladang sawit, tepi jalan dan lain-lain.
“Sisa plastik yang tidak mesra alam untuk dikitar semula akan dibuang merata-rata sehingga berlakunya pencemaran makro dan mikroplastik.
“Ini secara langsung yang sering terbakar dan melepaskan dioksin ke udara yang boleh menyebabkan kanser kepada penduduk ataupekerja sekitar dalam jangka masa panjang,” katanya.
Justeru, Pui Yi menegaskan, Malaysia wajar mencontohi langkah dilakukan China iaitu mengharamkan sepenuhnya import sisa e-waste dan sisa plastik kerana mendatangkan lebih banyak keburukan dan kerugian ekonomi.
“Sebahagian besar import tersebut merupakan sisa bercampur dan sudah pun melanggar undang-undang antarabangsa serta tempatan.
“Sisa-sisa ini dihantar ke negara ini bagi mengelakkan kos alam sekitar yang tinggi di negara asal. Kita juga mesti mengakui bahawa kitar semula sisa elektronik dan sisa plastik merupakan industri yang mencemarkan dan memerlukan kos yang tinggi untuk mengawal pencemaran,” katanya.
Sementara itu, pakar alam sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, kelemahan pemantauan dan pemeriksaan kontena di pelabuhan antara punca Malaysia dijadikan sasaran pembuangan sisa e-waste haram walaupun negara ini mempunyai undang-undang berkaitan sisa berbahaya.
Katanya, Malaysia merupakan hab perdagangan serantau dengan jumlah kontena masuk yang tinggi setiap hari sehingga menyukarkan pemeriksaan menyeluruh sekali gus membuka ruang kepada kemasukan sisa haram.
“Jumlah kontena e-waste yang disyaki diseludup antara 2,000 hingga 3,000 kontena menunjukkan betapa sukarnya pihak berkuasa mengawal setiap penghantaran yang masuk melalui pelabuhan utama.
“Pemeriksaan kontena di pelabuhan bukan dilakukan secara menyeluruh kerana sering dijalankan secara rawak dan terhad akibat keterbatasan tenaga kerja, masa dan teknologi pengimbas canggih.
“Keadaan ini membolehkan sindiket menyeludup e-waste dengan menyembunyikannya di dalam kontena berisi barangan lain, menyebabkan banyak import haram tidak dikesan pada peringkat awal,” katanya. – UTUSAN






