KOTA BHARU: Pemilik lesen mendulang emas di negeri ini masih keliru dan kabur dengan garis panduan yang dikeluarkan kerajaan negeri untuk menjalankan aktiviti itu secara sah.
Ahmad Fauzan Mohd. Zain berkata, maklumat awal berkaitan bayaran, tempoh sah lesen dan kawasan sebenar dibenarkan masih mengelirukan orang ramai.
Pemohon dimaklumkan bayaran lesen adalah RM100, namun semasa proses permohonan jumlahnya meningkat kepada RM200.
“Jumlah RM200 itu melibatkan bayaran proses dan lesen bagi tempoh setahun. Lesen ini tidak boleh diperbaharui, jadi kena mohon semula untuk tahun depan,” katanya.
Katanya, semasa mengisi borang permohonan, pemohon perlu mengisi kawasan dimohon untuk mendulang.
Kawasan di Jeli yang dibenarkan ialah Sungai Tadoh sepanjang empat kilometer dan Sungai Pergau dua kilometer. Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan menanda kawasan terlibat, jadi bukan bermaksud sepanjang sungai.
Situasi ini bercanggah dengan pemahaman pemohon yang menyangka mereka bebas mendulang di kawasan diwartakan.
Ahmad Fauzan berkata, kenyataan bahawa kerja menggali tidak boleh melebihi satu meter dan aktiviti di tebing sungai kurang jelas, menyukarkan pemegang lesen memahami peraturan.
Beliau juga menegaskan, pemegang lesen tidak dibenarkan menjalankan aktiviti mendulang di daerah lain dalam negeri sama kecuali dengan permohonan lesen berasingan.
“Maklumat itu diperoleh hasil pertanyaan kepada pegawai PTG semasa hadir mengambil lesen. Keperluan membawa dokumen lesen seperti geran tanah semasa mendulang mengejutkan.
“Saya berharap pihak berkuasa memperjelaskan garis panduan pelaksanaan lesen agar tidak berlaku salah faham,” katanya.
Nexbyte sebelum ini melaporkan 99 individu bakal memulakan aktiviti mendulang emas secara sah selepas kerajaan Kelantan meluluskan permohonan mereka. – UTUSAN






