ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sudah mengarahkan aktiviti penambakan di tanah perkuburan Islam sebuah masjid dekat Bedong, Kuala Muda dihentikan serta-merta.
Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Ghani Zainuddin berkata, aktiviti itu ditangguhkan bagi meneliti terlebih dahulu permohonan daripada pihak pengurusan masjid berkenaan untuk melakukan kerja penambakan di kawasan terlibat.
“Kita sudah menangguh dahulu aktiviti penambakan kerana JHEAIK perlu mengambil tindakan sewajarnya. Banyak langkah yang perlu dibuat dan diambil kira sebelum kelulusan diberikan.
“Pihak masjid dimaklumkan tentang perkara ini. Difahamkan kerja-kerja penambakan tersebut dibuat walaupun keputusan kelulusan belum diberikan. Banyak pihak yang perlu kita perlu rujuk termasuk Jabatan Mufti untuk kerja-kerja seperti ini,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang aktiviti penambakan tanah perkuburan masjid tersebut yang giat dijalankan dipercayai untuk mengatasi kesesakan kawasan kubur dan persediaan pengebumian jenazah pada masa akan datang.
Video mengenai aktiviti tersebut dimuatnaik di media sosial oleh seorang aktivis sejak semalam yang juga merupakan ahli kariah masjid berkenaan.
Tambah Abd. Ghani, JHEAIK menasihatkan semua pihak termasuk pengurusan masjid bersabar seketika sehingga permohonan melakukan kerja-kerja penambakan itu dinilai mengikut prosedur ditetapkan. -UTUSAN






