KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) bagi mengukur jurang digital dalam masyarakat serta memastikan usaha pendigitalan negara tidak melebarkan ketidaksamaan sosial.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, MyIKD akan berfungsi sebagai pangkalan data berpusat untuk menilai tahap keterangkuman digital rakyat termasuk aspek kemampuan (affordability) dalam kalangan masyarakat.
“MyIKD dibangunkan bagi mengukur jurang digital secara lebih menyeluruh, khususnya dari segi kemampuan akses, supaya hasil dapatan ini dapat dimanfaatkan untuk membantu kerajaan merangka intervensi yang lebih bersasar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai metrik pengukuran kemajuan Ekonomi Digital Malaysia dan langkah memastikan digitalisasi tidak melebarkan ketidaksamaan sosial.
Menurutnya, pembangunan indeks itu juga bertujuan memantau jurang digital secara berterusan supaya manfaat pendigitalan dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, keterangkuman digital dijadikan sebagai prinsip teras dalam pelaksanaan dasar pendigitalan negara bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan digital.
Dalam pada itu, Gobind berkata, kementerian turut melaksanakan pelbagai program peningkatan literasi dan kemahiran digital yang bersifat terbuka serta mudah diakses oleh semua pihak, termasuk golongan berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya dan komuniti luar bandar.
“Melalui pendekatan ini, kerajaan komited memastikan usaha digitalisasi bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mengurangkan jurang sosial dalam masyarakat,” katanya. – UTUSAN






