ALOR SETAR: Kes saman fitnah pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar terhadap Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Mat Yakim diteruskan.
Ia selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan dalam proses mediasi di Mahkamah Alor Setar, hari ini.
Peguam Mohd. Daud selaku plaintif, Ashraf Sohaimi berkata, prosiding kes berkenaan bermula Julai depan dengan tarikh yang akan ditentukan mahkamah kelak.
“Mediasi tidak berjaya dan kes ini akan diteruskan dengan perbicaraan pada Julai depan,” katanya ketika ditemui pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini hari ini.
Terdahulu, proses mediasi berlangsung hampir dua jam antara kedua-dua pihak termasuk Muhamad yang hadir bersama peguamnya, Abdul Hadi Ahmad di mahkamah berkenaan.
Mohd. Daud menamakan Muhamad sebagai defendan tunggal serta menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadapnya.
Tambah Ashraf, anak guamnya memfailkan saman pada Oktober lepas terhadap Muhamad susulan satu hantaran beliau di media sosial yang didakwa mengandungi fakta tidak tepat. – UTUSAN






