PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini dalam proses menyemak akta berkaitan sebelum mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan program Tingkatan Enam dan matrikulasi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ada proses yang perlu dilakukan termasuk menyemak akta sedia ada.
“Sebagai contoh akta di dalam KPT pada hari ini kita kena masukkan balik perkara berkaitan Tingkatan 6 dan matrikulasi.
“Kalau sebelum ini yang berkaitan dengan Tingkatan 6 dan juga matrikulasi itu berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Jadi langkah-langkah yang perlu kita buat itu perlu kita letakkan secara berperingkat,” katanya selepas melancarkan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) bagi Zon Wilayah (Premier) di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini memutuskan agar KPT mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti atau Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun depan dalam Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 baru-baru ini. – UTUSAN





