AMPANG: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melaksanakan penyitaan harta bernilai lebih RM66,000 di kediaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, di Ampang Jaya, hari ini.
Ini berikutan beliau gagal menjelaskan sepenuhnya baki kos guaman dalam kes saman fitnah membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Datuk Teresa Kok.
Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan harta alih itu dijalankan di kediaman Jamal di Ampang Jaya, di sini, bermula kira-kira pukul 11.42 pagi hari ini.
Menurut kenyataan wakil peguam plaintif, Datuk Sankara Nair, operasi tersebut diketuai Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi, Qasiratul Jannah Usmani bersama seorang bailif mahkamah serta disaksikan wakil peguam plaintif dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami telah cuba menghubungi penghuni rumah dengan memanggil dan membunyikan loceng, namun tiada sebarang maklum balas diterima,” menurut kenyataan itu.
Susulan tiada jawapan, mahkamah membenarkan kemasukan secara paksa dibuat berdasarkan perintah bertarikh 23 Januari 2026, sebelum writ penyitaan dilaksanakan sepenuhnya.
Sebanyak 14 barangan telah disita dari premis berkenaan dan pelaksanaan writ selesai kira-kira 12.36 tengah hari, dengan semua barangan kini menunggu proses pelupusan melalui lelongan awam.
Tindakan penguatkuasaan itu dibuat bagi mendapatkan baki tertunggak melibatkan kos guaman yang belum dijelaskan oleh Jamal, walaupun keputusan muktamad kes saman fitnah tersebut telah diputuskan sebelum ini.
Kes berkenaan berpunca daripada saman yang difailkan Teresa pada 6 April 2017, berhubung dakwaan Jamal yang didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah mengenai pengurusan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dalam satu sidang media pada 8 Mac 2017.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menganugerahkan ganti rugi RM300,000 kepada Teresa selepas mendapati dakwaan fitnah tersebut berjaya dibuktikan, selain kos tambahan sebanyak RM50,000.
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebagai muktamad dan berkuat kuasa.
Wakil peguam memaklumkan, walaupun bayaran ganti rugi RM300,000 telah dijelaskan, kegagalan mematuhi sepenuhnya perintah mahkamah berkaitan kos telah membawa kepada tindakan penyitaan hari ini. – UTUSAN




