PETALING JAYA: Lima individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan ke atas syarikat-syarikat yang dipercayai terlibat rasuah membabitkan seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sumber berkata, kesemua yang direman terdiri daripada pengarah, pengurus serta pemilik syarikat yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan syarikat kroni pegawai kanan itu.
“Rasuah berkenaan disyaki bagi mendapatkan kerja-kerja di Pangkalan TLDM Lumut, Perak,” katanya hari ini.
Sumber berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret, Putrajaya.
“Mahkamah membenarkan seorang individu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Januari.
“Manakala empat individu lain direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut.
Beliau berkata, siasatan dijalankan secara profesional dan mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa. – UTUSAN




