SEPANG: Pelbagai inisiatif penambahbaikan dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memastikan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 terus berjalan lebih lancar, sekali gus meningkatkan pengalaman penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, antara langkah yang diperkenalkan adalah penambahbaikan dari segi pengurusan di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang di hadapan terminal.
“Di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang, kita memperkenalkan sistem had masa parkir percuma selama 10 minit. Selepas tempoh itu, bayaran akan dikenakan, bukan untuk tujuan keuntungan, tetapi bagi memastikan kenderaan bergerak dengan lebih cepat,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan kerja sempena pelaksanaan ‘green lane’ di KLIA T1 hari ini.
Pada 1 Disember lalu, media melaporkan KLIA memulakan penguatkuasaan penuh Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS), selepas tempoh percubaan selama tiga bulan merekodkan pengurangan ketara dalam kesesakan di kawasan tepi jalan.
Dalam pada itu, beliau berkata, penambahbaikan yang dilaksanakan juga tidak hanya tertumpu di luar terminal, malah turut melibatkan proses di dalam lapangan terbang.
Jelasnya, kesemua inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan MAHB untuk meningkatkan kecekapan operasi lapangan terbang, khususnya dalam menghadapi peningkatan jumlah penumpang dan pelancong.
“Di kaunter daftar masuk, kita mahu mempercepatkan pergerakan penumpang untuk masuk ke pemeriksaan imigresen. Sebab itu kita mengurangkan satu lapisan pemeriksaan bagi melancarkan aliran penumpang.
“Manakala, bagi penumpang yang tiba, pengenalan inisiatif laluan hijau di KLIA Terminal 1 merupakan antara penambahbaikan penting bagi mempercepatkan proses keluar selepas tuntutan bagasi,” ujarnya. – UTUSAN






