PETALING JAYA: Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Wanita PN Pusat jika ia merupakan keputusan bersama yang dibuat secara matang dan berlandaskan kepentingan parti serta gabungan.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, beliau sedia maklum terdapat desakan untuk beliau meletakkan kedua-dua jawatan tersebut susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
Katanya, keputusan tidak meletakkan jawatan buat masa ini bukanlah didorong sebarang kepentingan peribadi atau keinginan untuk mempertahankan jawatan mahu pun kuasa.
Sebaliknya, katanya, ia dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan Perikatan Nasional di peringkat negeri.
“Pertama, hubungan antara kepimpinan PN Melaka khususnya bersama Pesuruhjaya Pas Negeri, Zulkifli Ismail serta seluruh komponen parti berada dalam keadaan yang baik, harmoni dan saling mempercayai sama ada sebelum, semasa dan selepas isu yang berlaku di Perlis.
“Tiada sebarang konflik dalaman yang menuntut peletakan jawatan saya secara tergesa-gesa,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.
Mas Ermieyati berkata, keduanya, PN Melaka kini sedang berada dalam fasa persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.
“Kesinambungan dan kerjasama erat kepimpinan amat penting bagi memastikan gerak kerja, penyusunan jentera dan strategi dapat berjalan dengan tersusun serta berkesan. Sebarang perubahan mendadak hanya berisiko melemahkan momentum yang sedang dibina bersama,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan bahawa pelantikan Pengerusi PN Negeri dan jawatan-jawatan lain terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat adalah kurang tepat.
Katanya, pelantikan semua jawatan PN sama ada di peringkat pusat atau negeri adalah berdasarkan keputusan bersama Majlis Tertinggi PN melalui mesyuarat, walaupun pencalonan dibuat oleh parti komponen berdasarkan kesesuaian dan konteks setempat.
“Saya juga sependapat dengan Timbalan Pengerusi PN Kelantan dan Terengganu yang terlebih dahulu menyatakan hubungan Bersatu dan Pas di negeri itu dalam keadaan baik dan harmoni serba tidak terjejas dengan isu yang berlaku.
“Hubungan yang harmoni tersebut sama dengan keadaan negeri Melaka. Jadi kenapa hanya kepengerusian PN negeri Melaka sahaja menjadi tumpuan dan modal tohmahan manakala kepengerusian negeri lain yang masih dipegang oleh Pas dan Pengerusi Perhubungan Bersatu negeri mengisi jawatan Timbalan Pengerusi PN tidak pula ditimbulkan atau dipersoalkan,” katanya. – UTUSAN






