PUTRAJAYA: Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi murid Tahun Empat dan pelajar Tingkatan Tiga adalah langkah penting dalam memperkukuh sistem pendidikan negara kerana ia menawarkan sistem pengukuran pembelajaran yang lebih luas dan menyeluruh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah semestinya memberi impak besar kepada ibu bapa, guru serta seluruh komuniti pendidikan.
Sehubungan itu kata beliau, pelaksanaan peperiksaan itu tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan.
“Matriks pembelajaran ini sangat penting kerana sistem pengukurannya lebih luas. Ia bukan sistem peperiksaan yang menekan murid, sebab itu saya minta ibu bapa dan guru-guru supaya tidak panik,” katanya menerusi sesi penerangan kepada media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan akan memperkenal pendekatan baharu penilaian pembelajaran di sekolah rendah dan menengah melalui Matriks Pembelajaran Malaysia bermula dengan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat pada 2026 dan Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pada 2027.
Perdana Menteri berkata, Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat akan dilaksana mulai 2026 membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Manakala Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pula akan diperkenal mulai 2027 membabitkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Menurut Fadhlina, pemilihan peringkat Tahun Empat adalah bagi memastikan kementerian mempunyai ruang masa mencukupi untuk melaksanakan intervensi dan pengukuhan pembelajaran sebelum murid melangkah ke peringkat seterusnya.
“Kita laksanakan di Tahun Empat kerana masih ada dua tahun untuk kita membuat intervensi sekiranya berlaku sebarang kelemahan. Ini keseluruhannya berkaitan intervensi, pengukuhan dan sokongan kepada kurikulum baharu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa matriks pembelajaran itu merangkumi mata pelajaran yang mendukung kurikulum dan tidak tertumpu kepada peperiksaan semata-mata.
Fadhlina menjelaskan, Matriks Pembelajaran Malaysia akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan untuk memastikan tahap keyakinan awam terhadap penilaian tersebut.
“Saya nak jelaskan ya, kenapa ia diberikan kepada Lembaga Peperiksaan adalah untuk memastikan keyakinan awam kepada ujian ini nanti apabila ia berlangsung. Ia mesti ada satu badan yang dipercayai oleh rakyat untuk menilai semua ini,” ujarnya.
Fadhlina berkata, pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi murid Darjah Empat dijadualkan bermula Oktober ini bagi membolehkan keputusan diselesaikan sebelum cuti sekolah, seterusnya memberi ruang kepada ibu bapa dan guru menilai prestasi murid serta meneruskan pengukuhan Tahun Lima dan Tahun Enam sebelum murid memasuki sekolah menengah.
Beliau turut menekankan bahawa Matriks Pembelajaran Malaysia merupakan sistem penilaian yang lebih baik daripada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
“Ini kerana ruang lingkup, penambahbaikan dan tumpuan itu adalah khusus kepada empat perkara yang saya sebut tadi termasuk intervensi. Maksudnya tiada anak-anak yang akan terpinggir,” ujarnya. – UTUSAN





